![]()
Judul: Takluk Jagat Bahagian 1: Bisikan Ariasa
Penulis: Zaki Zainol
Genre: Fantasi
Tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Itu adalah keseluruhan kandungan fiksyen sains dan fantasi Takluk Jagat: Bisikan Ariasha oleh Zaki Zainol.
Bahagian pertama Takluk Jagat ini dipenuhi dengan plot dan sub-plot yang bertali arus, mengalir laju menakluk jiwa saya. Walaupun ‘dendam’ memenuhi aliran cerita, banyak pengajaran yang boleh dijalin. Antaranya:
“Namun, melihat apa yang berlaku membuatkannya berfikir. Betapa perasaan benci dan amarah umpama sebilah pedang bermata dua. Perasaan itu boleh merosakkan seorang manusia dan juga memberikannya semangat untuk terus hidup. Perasaan Zilastra tersentuh. Biarpun si Musang cuma penyamun, tetapi dia begitu setia kepada sahabat-sahabatnya. Manusia yang kononnya tulus dan mulia belum tentu dapat memberi keteguhan setiakawan seperti itu. Penyamun yang menitiskan air mata demi sahabatnya bukanlah seorang yang mati hatinya. Mungkin….cuma seorang manusia yang tersilap memilih arah hidup ataupun mungkin desakan hidup yang menolaknya ke pinggir jalan yang gelap dan berduri…”
Novel ini merupakan kisah kembara hero utama, Bayu Adi Jata, menjejak keris keramat Takluk Jagat. Bersama ‘kembar’ Takluk Jagat, Indera Bumi, dan ditemani oleh puteri bunian Ariasha Cinta Castra dan Zilastra, Bayu Adi Jata menjelajah Tanah Ini. Di setiap hentian, ada sahaja halangan. Dalam waktu yang sama, Bayu banyak belajar dari kembara tersebut. Keupayaan ilmu persilatan Bayu juga semakin meningkat di sepanjang kembara yang memakan masa dan tenaga.
Takluk Jagat: Bisikan Ariasha menampilkan jurus-jurus jagat persilatan di Tanah Ini; Gegaran Bumi Merekah, Helang Menjunam Dari Awan, Melayah Sang Garuda, Gelora Menghempas, Julangan Panglima, Langkah Lipat Bumi, Bayu Berolak, dan pelbagai lagi nama pelik tetapi menarik.
Setiap jurus persilatan tersebut mempunyai bacaan mentera berbentuk pantun atau puisi yang cukup indah. Digarap semolek mungkin oleh Zaki Zainol. Saya terpegun dan berulang-ulang membaca setiap pantun tersebut. Bukan setakat untuk memahami apa yang dijalin oleh penulis, malah saya cuba mengecapi keindahan bahasa dan lengoknya.
Watak-watak kasar, jahat dan penuh dendam diselang-selikan dengan watak baik, bepekerti, lemah lembut, berhemah dan tunduk kepada Tuhan. Saya sering katakan kepada sahabat-sahabat, kita boleh berdakwah dan berjihad dalam berbagai bentuk. Penulisan adalah salah satu darinya. Saudara Zaki Zainol berjaya dari sudut ini.
Ketika membaca novel ini, saya tenggelam bersama watak, plot dan persekitaran. Begitu asyik dan mendebarkan.
Saya berharap bahagian kedua akan lebih tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Paling kurangpun, setara dengan bahagian pertama ini.
Artikel asal oleh: Pasalbuku
Beli: DI SINI
Tags: fantasi, novel, PTS, resensi, Takluk Jagat Bahagian 1 Bisikan Ariasha, Zaki Zainol
salam sejahtera..saya berminat untuk menerbitkan novel sains fantasi..bagaimana untuk turut serta dalam kumpulan sai-fai malaysia..
Salam Atiqzizan,
Anda berminat mahu menyertai kumpulan ini? Sila rujuk blog Nazri M Annuar. Mohon maklumkan kepadanya.