.
Tajuk: Takluk Jagat Bahagian I: Bisikian Ariasha
Oleh: Zaki Zainol
Terbitan: PTS
Tahun: 2008
Sinopsis:
Saga-advencer purba yang berlaku di sebuah bumi fiksi Tanah Ini, mengisahkan Bayu Adi Jata, seorang yatim piatu yang berkelana mencari “pencuri” keris pusaka dan pembunuh datuknya. Bayu akan bertemu dengan Zilastra Dunia Kencana, Puteri Ariasha Cinta Castra, seorang puteri bunian dan Budak Tiada Wajah. Pada masa yang sama, negeri Dasyuria yang aman sedang berdebar-debar apabila askar dari negeri Sedinggi sudah mula berbaris di sempadannya. Tetapi musuh lama mereka, Wilayah Dawaka yang sudah lama terpecah sedang mula mengumpul kekuatan. Dalam perjalanan Bayu, dia terserempak dengan seorang lagi perwira yang amat menakutkan dan penuh rahsia, Pemusnah Jiwa, yang sedang mencari keris pusaka Bayu yang sama, Takluk Jagat.
Rasa:
Ingin saya mulakan ulasan novel ini dengan menyampaikan perasaan suka cita saya bahawa warisan Saga Artakusiad Ahmad Patria Abdullah sudah terjawab buat generasi ini dengan lahirnya dua orang penulis yang buat saya, amat bermakna buat penulisan genre fantasi. Saya belum mencedok ketangkasan Ramlee Awang Mursheed dalam trilogi Laksmana Sunannya, tetapi menelusuri dunia Rahsia Agenda Alam Hitam Zehann Ur Rakhie serta saga Takluk Jagat Zaki Zainol, saya berpendirian bahawa genre fantasi novel Melayu Malaysia akan bergerak subur, jikalau dua orang penulis handal ini meneruskan tuk selampit dan ceritakawala mereka.
Malah saya ingatkan pada diri, tidak ada sesiapa dapat menandingi novel fantasi Zehann setakat ini (yang sememangnya lebih saya gemari secara peribadi atas genrenya yang terlingkung dalam seram, vampirisme dan haiwan jadian) sehinggalah saya terjumpa dengan novel Zaki Zainol yang sulung ini, satu lagi petanda bahawa penulis muda generasi sekarang tidak perlu dikhuatiri titis tulisan mereka, atas kesegaran dan kompleksiti terjaga yang mereka bawa dalam hasil fiksyen mereka. Malah saya perlu akur, novel-novel ini lebih tuntas dan teliti gerak ceritanya daripada novel-novel fantasi Malaysia yang terdahulu kecuali mungkin Ahmad Patria Abdullah.
Ya, terdapat persamaan plot dan tema jika kita dapat meneliti dengan persis novel Zaki Zainol ini terhadap latar saga Star Wars (Bayu dengan Luke Skywalker serta persoalan Pemusnah Jiwa yang kemungkinan anal) dan Lord of the Rings (Dakawa dan Sauron, Takluk Jagat dan Cincin Sauron), tetapi hal ini tidak menjadi masalah (genre fantasi mana sekarang yang tulen?) oleh sebab pergerakan cerita, latar, perwatakan dan motif yang Zaki bawa amat berlainan dengan hasil George Lukas serta JRR Tolkein itu. Paling membanggakan, latar tempat Tanah Ini disesuaikan dengan sosio budaya nusantara, atau Melayu Islam yang amat dekat dengan kita. Pembawaan ini yang menarik (seperti Dewangga Sakti), mencipta mitos, susur galur dan perasaan yang amat Melayu dalam novel ini tetapi tetap bercirikan antarabangsa atas sebab-sebab dramatik, humanisme dan ketelitian Zaki merincikan novel ini sebagai sebuah advencer yang terancang ampuh dengan plot bersimpang-siur.
Seperti Zehann (yang lebih bergerak hala penyiasatan dan advencer dua dunia), Zaki Zainol mencipta sebuah dunia di mana aksi berselang-seli dengan drama. Hal ini merupakan kekuatan novelis-novelis seni petempuran Hong Kong dan Taiwan yang mana Zaki tampaknya amat kuat dalam hal perjalinan ini. Dalam dunia Zaki, pencak silat dan mistik Melayu menjadi satu petanda dunia yang unik - Zaki berjaya menampilkan kecantikannya serta fungsinya (terhadap sastera) dan masih penting dalam cerita, walaupun hal ini tampak seperti mengulang aksi penamaan “gaya” yang biasa dalam komik-komik kung fu Tony Wong.
Zaki mengambil penting sikap pembentukan watak, di mana setiap watak di dalam novel ini mempunyai bulatan dan sejarahnya yang tersendiri, psikologi dan motifnya benar pada cerita dan bercirikan pelbagai dimensi, malah “hidup” oleh sebab pembinaan watak yang selesa dengan kulitnya (bukan dibuat-buat). Paling mengejutkan, sekecil-kecil watak seperti Musang Darat mempunyai justifikasinya tersendiri. Ini sememangnya kekuatan Zaki Zainol. Malah, saya gerenti, novel ini senang diadaptasi menjadi sebuah filem bermutu atau komik yang cukup mendebarkan. Titik “drama dan tempur” ini boleh sahaja berhenti di tahap mikro (seperti mana novel-novel kung fu itu), tetapi Zaki membuka luas skopnya (walaupun bahagian peperangan ini adalah bahagian yang paling susah untuk dibaca) kepada beberapa krisis makro yang melibatkan ketenteraan yang besar. Malah, novel pertama ini semacam membuka layar (seperti buku pertama Tolkein) untuk satu pertempuran epikal akan berlaku. Antisipasi ini amat ditunggu-tunggu.
Kompleksiti Zaki dalam menjaga setiap pergerakan watak dan plotya merupakan sebuah lagi kekuatan Zaki. Ya, ada tanda-tanda “relief” sewaktu Raja Dasyuria duduk aman dengan Pemaisurinya, tetapi hal-hal kerajaan Dasyuria dengan rencah perhubungan luar ataupun dalamannya dalam uncang politik monarki, turut melibatkan intrig yang tidak jauh mencengkam pembaca. Kita akan dibawa kembali ke alam raja-raja Melayu dengan pemasalahan dan kebijaksanaan mereka seperti ada di dalam hikayat-hikayat lama, malah dalam drama-drama bangsawan. Saya teringatkan akan adikomik Rejabhad, Periwira Mat Gila, di mana kehidupan rajanya dalam latar istananya mempunyai impak menarik seperti yang dicipta oleh Zaki dalam novel ini. Undangan raja yang zalim dan bodoh yang selalu diangkat oleh pembikin filem sekarang serta para sosialis semasa ditolak oleh Zaki dengan penciptaan raja muda Sultan Amiladdin. Ianya satu kesegaran yang tidak terhingga.
Yang paling saya gemari dalam tulisan Zaki yang mana tidak ada lagi penulis Malaysia yang saya jumpa setakat ini yang dapat menyamainya adalah kebijaksanaan Zaki dalam menjelmakan humor, atau wit Melayu dalam tulisannya. Malah penciptaan wit yang sedia ada pada orang Melayu ini (yang memang saya akur, hanya dapat dijelmakan dan digunakan dengan baik oleh penduduk Kelantan, Kedah, P. Pinang dan Perlis sahaja) telah menjadikan novel ini satu novel fantasi dalam kelasnya yang tersendiri. Ia menampilkan dialog dan balasan kata yang mencuitkan dalam keadaan seriusnya dan ketingkatan adabnya, gaya latah secara tiba-tiba yang amat menyerikan (seperti Raja Bunian yang naik ke atas pokok secara tiba-tiba) dan punya tampuk tasawufnya. Saya memanggil penggayaan ini sebagai “tepuk-menampar” atau “senda gurau”. Ia tidak pernah secerdik dan seorganik ini.
Novel pertama Zaki memang menyentak perasaan. Zaki merupakan seorang adicerita, kenal dengan pemanipulasian emosi pembaca (hal ini amat penting buat novel-novel bergenre). Bayangkan kitaran 180 darjah yang berjaya Zaki lakukan terhadap kita dalam watak Musang Darat di akhir cerita, atau rahsia Pemusnah Jiwa ataupun datuk Bayu. Memang, banyak jalinan cerita dan persoalan yang masih tergantung, tetapi ini disengajakan untuk membuka perjalinan buat novel keduanya (yang sudah ada di pasaran), seperti mana proses pengeluaran tiga buku Tolkein itu. Malah, persoalan-persoalan ini amat menarik untuk dijenguk nanti. Hanya kulit edisi ini buat saya agak gagal merumuskan kehebatan latar dan jiwa sebenar novel ini (ia hanya menampilkan 3 watak penting novel ini yang disusun dengan tidak bermaya). Jika ilustrasinya menggambarkan setiap watak dalam keadaan berbaris (seperti mainan strategi komputer Koei atau filem Wali Songo atau Saur Sepuh) dilatarkan dengan banjaran dengan keris Takluk Jagat di tengah, kemungkinan ia lebih menarik, ataupun dengan mengambil satu aksi dalam novel ini, seperti kedatangan Putera Sigorong yang tiba-tiba di tengah pekan, ataupun latar barisan askar Dassyuria di sempadan Sedinggi. Ya, novel ini seepikal itu untuk digambarkan.
Ada sesuatu yang “besar” yang ingin Zaki sampaikan. Tetapi terus-terang, dalam bahagian pertama ini, ia lebih berlandaskan ketelitian dan keutuhan manusia-manusia kecilnya (yang oleh sebab ketelitian mereka memilih dan bertindak serta utuh, menyebabkan mereka manusia-manusia yang berbakat) dalam menghadapi setiap dugaan hidup yang makin memberatkan setiap langkah apabila mereka menghampiri satu tujuan. Ini tampak benar dalam watak Bayu yang bermula dengan dendam, tetapi dalam pertengahan dan pengakhiran, kita menyedari semangat romantisme dendam Bayu mula disamarkan atas ciri-ciri manusia yang lebih agung, iaitu kematangan dan kemanusiaan. Ini membuatkan manusia mencapai kemurniaan yang lebih daripada manusia biasa. Inilah sikap halus Zaki dalam menampilkan adab Melayu. Buat Zaki, adab dan pembinaan perwatakan adab dalam diri merupakan rencah peradaban tinggi yang sebenar.
Secara lintas, novel ini merupakan novel “wajib baca” buat pembaca novel fantasi oleh sebab Zaki merupakan putera humor dan mistik Melayu terbaru yang amat ditunggu-tunggu oleh pembaca fantasi Malaysia.
Artikel asal oleh: Fadli al-Akiti
Beli: DI SINI
Tags: fantasi, novel, PTS, resensi, Takluk Jagat Bahagian 1 Bisikan Ariasha, Zaki Zainol
Ya, kami ingin mengambil pendapat saudara dan saudari, novel dan cerpen sai-fai apa yang terbaik sekitar 2010? Tetapi novel/cerpen (setahu kami, hanya Dewan Kosmik yang siarkan cerpen sai-fai) tu mestilah terbitan pada 2010, bahasa kebangsaan (woppss, takkanlah Mandarin/Tamil kot?) dan mesti “sai-fai”lah!
Maklumkan di sini (KOMEN DI BAWAH), dan jom kita tengok, siapa paling popular, siapa paling layak …
Tags: cerpen, fantasi, fiksyen sains, novel, sai-fai, terbaik
Salam Sai-fai.
Kami sudah memasukkan beberapa halaman baharu. Beberapa pembaharuan turut dirancang dan akan muncul.
Perihal Sai-Fai.com
Info berkenaan laman ini serta pengisiannya.
Daftar Novel Sai-fai
Senarai judul novel sains dan fantasi Malaysia. Akan diperkemaskini dari semasa ke semasa.
Zine
Sai-Fai.com mempersembahkan CEREKAWALA, satu-satunya zine fiksyen sains dan fantasi Malaysia.
Kami juga akan mula menyelidik dan menilai, 10-30 novel fiksyen sains, fantasi, serta sai-fai terbaik Malaysia, mengikut pendirian dan pemahaman kami, itupun, jika senarai melebihi bilangan yang terpilih.
Tags: Daftar Novel Sai-fai, Perihal Sai-Fai.com, sai-fai, zine
![]()
Judul: Takluk Jagat Bahagian 1: Bisikan Ariasa
Penulis: Zaki Zainol
Genre: Fantasi
Tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Itu adalah keseluruhan kandungan fiksyen sains dan fantasi Takluk Jagat: Bisikan Ariasha oleh Zaki Zainol.
Bahagian pertama Takluk Jagat ini dipenuhi dengan plot dan sub-plot yang bertali arus, mengalir laju menakluk jiwa saya. Walaupun ‘dendam’ memenuhi aliran cerita, banyak pengajaran yang boleh dijalin. Antaranya:
“Namun, melihat apa yang berlaku membuatkannya berfikir. Betapa perasaan benci dan amarah umpama sebilah pedang bermata dua. Perasaan itu boleh merosakkan seorang manusia dan juga memberikannya semangat untuk terus hidup. Perasaan Zilastra tersentuh. Biarpun si Musang cuma penyamun, tetapi dia begitu setia kepada sahabat-sahabatnya. Manusia yang kononnya tulus dan mulia belum tentu dapat memberi keteguhan setiakawan seperti itu. Penyamun yang menitiskan air mata demi sahabatnya bukanlah seorang yang mati hatinya. Mungkin….cuma seorang manusia yang tersilap memilih arah hidup ataupun mungkin desakan hidup yang menolaknya ke pinggir jalan yang gelap dan berduri…”
Novel ini merupakan kisah kembara hero utama, Bayu Adi Jata, menjejak keris keramat Takluk Jagat. Bersama ‘kembar’ Takluk Jagat, Indera Bumi, dan ditemani oleh puteri bunian Ariasha Cinta Castra dan Zilastra, Bayu Adi Jata menjelajah Tanah Ini. Di setiap hentian, ada sahaja halangan. Dalam waktu yang sama, Bayu banyak belajar dari kembara tersebut. Keupayaan ilmu persilatan Bayu juga semakin meningkat di sepanjang kembara yang memakan masa dan tenaga.
Takluk Jagat: Bisikan Ariasha menampilkan jurus-jurus jagat persilatan di Tanah Ini; Gegaran Bumi Merekah, Helang Menjunam Dari Awan, Melayah Sang Garuda, Gelora Menghempas, Julangan Panglima, Langkah Lipat Bumi, Bayu Berolak, dan pelbagai lagi nama pelik tetapi menarik.
Setiap jurus persilatan tersebut mempunyai bacaan mentera berbentuk pantun atau puisi yang cukup indah. Digarap semolek mungkin oleh Zaki Zainol. Saya terpegun dan berulang-ulang membaca setiap pantun tersebut. Bukan setakat untuk memahami apa yang dijalin oleh penulis, malah saya cuba mengecapi keindahan bahasa dan lengoknya.
Watak-watak kasar, jahat dan penuh dendam diselang-selikan dengan watak baik, bepekerti, lemah lembut, berhemah dan tunduk kepada Tuhan. Saya sering katakan kepada sahabat-sahabat, kita boleh berdakwah dan berjihad dalam berbagai bentuk. Penulisan adalah salah satu darinya. Saudara Zaki Zainol berjaya dari sudut ini.
Ketika membaca novel ini, saya tenggelam bersama watak, plot dan persekitaran. Begitu asyik dan mendebarkan.
Saya berharap bahagian kedua akan lebih tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Paling kurangpun, setara dengan bahagian pertama ini.
Artikel asal oleh: Pasalbuku
Beli: DI SINI
Tags: fantasi, novel, PTS, resensi, Takluk Jagat Bahagian 1 Bisikan Ariasha, Zaki Zainol
Salam perkenalan
Sai-Fai.com dibangunkan sebagai laman web mengumpulkan data dan berita perihal perkembangan karya Sains-fiksyen dan fantasi di Malaysia. Juga sebagai medan dedikasi beberapa orang peminat genre ini.
Kenapa nama Sai-Fai?
Nama ini dipinjam dari istilah yang dipopularkan oleh Puan Ainon. Rasional meletakkan nama Sai-Fai kerana ia bersifat santai. Boleh sahaja nak letak Fiksyen-sains dan fantasi dot com. Tapi berbelit pula lidah nak menyebut dan memperkenalkannya.
Apa yang ada di dalamnya?
Berita terkini tentang perkembangan fiksyen sains dan fantasi Malaysia, database karya, aktiviti-aktiviti di sekitar Malaysia dan sebarang benda yang kami rasa mahu sumbatkan.
Siapa boleh menyertainya?
Setakat ini krew Sai-Fai atas undangan kronisme. Ini untuk memudahkan pemantauan. Tapi jika mahu menyumbang artikel, boleh sahaja emel ke nazri123456789@gmail.com
Sai-Fai.com laman yang serius?
Terpulang. Seperti yang kami katakan tadi, ia bersifat santai. Mungkin ada anginnya kami muatkan isu serius, mungkin ada harinya kami cuma berseloroh. Ini bukan laman pejuang, ini cuma satu dedikasi dari peminat untuk peminat yang berminat.
Nazri M. Annuar
Setapak, Kuala Lumpur
Tags: sai-fai